Friday, August 22, 2014

Pesan Ibu Beribu

Kita ada ibu
ibu kita satu
pesanannya beribu-ribu.

Setiap langkah kita 
diiringi pesanan ibu
"buat begini jangan begitu
bacalah buku selalu
kukuhkan diri dengan ilmu
pilihlah kawan yang mulia hati
tolaklah kawan pementing diri
pilihlah kawan yang yang punya petunjuk
tolaklah kawan penagih rokok."
ibu yang satu 
menyekat kita di pintu
bertanya ke mana arah tuju
"jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu."
Kita menjadi jemu
mendengar pesanan ibu beribu-ribu
tapi ibu tetap ibu
pesanan bertambah satu dan satu 
"jangan dibiar kepala berkutu
carilah ubat jerawat batu."
Suatu senja 
seorang temanku merintih
kerana kehilangan kekasih
kini baru disedarinya
pilihan musang berbulu arnab
biarpun menyamar cekap
ada masa masuk perangkap
Si bedul sudah ditangkap
Si Bedul masuk lokap
Dia menyatakan kesalnya
kerana dia alpa
ibunya berpesan sejak dulu
"pilihlah kawan yang bermutu
jangan dipilih kawan berhantu"
Mengenangkan nasib temanku itu
aku merindui pesanan ibu
Ya, pesanan ibu.
Ibu, 
kuyakini kau mengenali
yang mana permata, yang mana kaca
yang mana budaya, yang mana buaya
berilah pesanan beribu-ribu
malah berpuluh ribu
aku tidak akan jemu
ini janjiku kerana aku tahu
sempurna seorang ibu
dengan pesanan beribu-ribu.   
karya Rahman Shaari
 
~antare puisi yg ak suke... simple, sinis & berkesan di hati.. tema nye jelas, perkataan nye tepat sampai ke hati...~

No comments: